Wartawan Nabalu News

Kerajaan tubuh Majlis Madani, Anwar jadi pengerusi – Ahmad Zahid

22 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan telah membentuk Majlis Madani untuk melaksanakan konsep kerajaan madani yang merangkumi semua pihak di negara ini.

Jelas beliau majlis tersebut akan diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah merancang pelbagai program berasaskan masyarakat Malaysia Madani.

"Apa yang penting, kita mahu mengajak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menterjemahkan pelaksanaan falsafah dan konsep masyarakat madani ini supaya difahami dan menyantuni semua pihak.

“Konsep dan falsafah madani ini harus disantuni oleh kepelbagaian agama, budaya bahasa dan latar belakang masyarakat,” katanya.

Ahmad Zahid juga menambah bahawa Anwar akan membuat pengumuman lanjut mengenai keputusan mesyuarat Majlis Madani yang akan diadakan nanti.