Wartawan Nabalu News

Tuntutan Hak Sabah antara Tawaran PH untuk rakyat Sabah pada PRU15: Ewon

Ewon ketika berucap pada Jelajah Mega Harapan Negeri Sabah.

1 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News

TUARAN: Tuntutan hak-hak Sabah antara perkara penting yang terkandung dalam manifesto atau Tawaran Pakatan Harapan (PH) untuk rakyat Sabah dan Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata calon kerusi Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.

Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata, tuntutan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah dimasukkan lebih awal dalam Tawaran Pakatan Harapan untuk rakyat negeri ini.

“Dalam beberapa hari lagi, Pakatan Harapan akan melancarkan manifesto ataupun Tawaran Pakatan Harapan untuk rakyat Sabah dan Malaysia.

“Bagi UPKO, kita sudah menetapkan syarat-syarat iaitu tuntutan hak-hak Sabah mesti dimasukkan dalam Tawaran tersebut dan bukan hanya selepas pilihan raya baru kita bincang dengan pihak lain.

“Saya tidak setuju dengan pendekatan parti-parti lain yang menyatakan ‘menang dulu baru runding’. Itu runding untuk apa? untuk jawatan? untuk peruntukan? Kita tidak pasti, kita pun boleh berfikir.

“Tapi bagi Pakatan Harapan, kita sudah mengemukakan tuntutan awal supaya Hak-Hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 Perlembagaan Malaysia itu dimasukkan dalam Tawaran Pakatan Harapan untuk rakyat Sabah,” katanya.

Ewon bersalaman dengan Anwar pada majlis itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Mega Harapan negeri Sabah, di sini, semalam.

Program itu dihadir Pengerusi PH Malaysia yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau, Presiden Amanah Mohamad Sabu, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Ketua Pemuda PH Sabah Phoong Jin Zhe, Ketua Wanita PH Sabah Jannie Lasimbang dan Pemimpin MUDA Sabah Sharizal Denci.

Ewon berkata, rakyat Sabah dan para pemimpin dari Semenanjung Malaysia perlu memahami sentimen Wilayah Sabah dan Sarawak kerana tanpa Sabah dan Sarawak tidak akan ada Malaysia.

“Para pemimpin terdahulu menandatangi Perjanjian Malaysia 1963 dan tercatat hak-hak Sabah bukan hanya dalam MA63 tetapi juga dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Maka menjadi taggungjawab semua rakyat Sabah untuk bersama-sama memperjuangkan tuntutan hak Sabah. Ini adalah tanggungjawab kita semua, bukan milik satu parti sahaja.

“Ada juga satu parti daripada Sabah yang mengatakan merekalah parti tempatan yang paling berjuang untuk menunaikan ataupun “membubut” untuk menunaikan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia. Tetapi pernahkah mereka bercakap tentang Blok Borneo?

“Saya tidak pernah dengar. Jadi kita perlu konsisten apabila bercakap tentang Hak Sabah,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap rakyat Sabah bijak membuat pilihan pada PRU kali ini dengan memberikan sokongan padu kepada semua calon PH bagi membolehkan gabungan itu membentuk sebuah kerajaan yang lebih baik.

“Satu undi kepada PH merupakan satu undi untuk kerajaan yang menolak rasuah, salah guna kuasa dan yang mahu membentuk tadbir urus kerajaan supaya lebih prihatin dan lebih peduli kepada rakyat.

“Kalau kita mahu tukar kerajaan yang bermasalah, mari kita bangkit bersama untuk memberi sokongan padu kepada semua calon Pakatan Harapan untuk memastikan kemenangan PH pada PRU15,” katanya.