• nabalunews

1,000 PENDUDUK KAMPUNG MEMBALUA, TAWAU MOHON SELESAI ISU BEKALAN AIR


1 FEB 2021


TAWAU: Paip air telah dipasang sejak lima tahun lepas, bagaimanapun kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Membalua Laut di sini masih berdepan dengan isu ketiadaan bekalan air, justeru mereka memohon pihak berkaitan untuk mengatasi masalah tersebut. Ketua Kampung Membalua Laut Usin Ismail berkata masalah itu dilihat seperti tidak berkesudahan kerana tiada langkah penambahbaikan setelah aduan demi aduan dibuat ke pejabat Jabatan Air Sabah di sini dan Kota Kinabalu, sehubungan itu suatu langkah terbaik menyelesaikan masalah itu perlu dilaksanakan. "Rungutan penduduk kampung di sini bukan baharu, hakikatnya mereka juga membayar bil air tetapi masalah air tidak selesai...diharap perkhidmatan termasuk menghantar bantuan air kepada penduduk dibuat sebagai penyelesaian jangka masa pendek," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain itu katanya, penduduk turut mencadangkan supaya kerajaan menyediakan sebuah tangki yang besar bagi menyimpan bekalan air bersih sebagai kegunaan penduduk kampung itu. Seorang penduduk Latipah Jamaran, 56, berkata bekalan air di kampung itu dicatu hingga 10 hari dan hanya disalurkan pada waktu malam, malah ada ketika disalurkan dalam tempoh yang sekejap menyebabkan penduduk sukar untuk menyimpan bekalan air. "Banyak kali sudah aduan tetapi alasan yang diterima masalah itu disebabkan musim kemarau, hakikatnya catuan ini berlaku sudah bertahun dan waktu hujan pun masih ada masalah air," katanya yang juga seorang suri rumah.

Latipah berkata penduduk kampung terpaksa menggunakan air sungai termasuk untuk mencuci pakaian dan pinggan mangkuk selain air hujan untuk memasak, malah ada penduduk terpaksa mengeluarkan kos tinggi sekurang-kurangnya RM60 setiap minggu untuk membeli air minuman. "Ada juga penduduk di sini menyediakan pam elektrik untuk mengambil air sungai yang jauhnya lebih 200 meter dari kediaman sekiranya bekalan air yang disimpan kehabisan, selain itu bil elektrik juga melambung tinggi kerana penggunaan pam elektrik untuk dapatkan air daripada paip atau sungai," katanya. Seorang lagi penduduk Salma Taling, 65, juga seorang suri rumah berkata masalah bekalan air itu cukup memberikan bebanan kepada kehidupan keluarganya kerana suami dan seorang anaknya menghidap penyakit buah pinggang dan terpaksa mendapatkan rawatan hemodialisis.

"Semasa tinggal di Kampung Titingan, sekiranya Jabatan Air membuat catuan pasti ada lori tangki air datang menghantar bantuan air di kampung ini, namun tidak pernah sekali pun nampak lori jabatan itu datang menghantar air untuk kegunaan kami walaupun menghadapi catuan yang agak lama," katanya. Katanya, seorang anak lelakinya terpaksa menyewa rumah di kawasan bandar kerana tidak tahan dengan masalah air di kampung berkenaan. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com