• nabalunews

1,103 KES BAHARU POSITIF COVID-19 HARI INI - DR NOOR HISHAM



16 Nov 2020


KUALA LUMPUR: Kes baharu COVID-19 yang direkodkan hari ini kekal empat digit iaitu 1,103 kes, menjadikan jumlah kes positif dalam negara sebanyak 48,520, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.


Beliau berkata dengan perkembangan itu, bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah 12,601 kes, manakala jumlah kes pulih hari ini adalah 821 menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 35,606 kes.


Menurut Dr Noor Hisham, satu kes daripada 1,103 kes baharu yang direkodkan hari ini merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.


Penularan tempatan menyaksikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 392 kes, diikuti Sabah (288), Selangor (150), Perak (116), Negeri Sembilan (90) dan Pulau Pinang (26).


“Kedah pula mencatatkan 10 kes, Wilayah Persekutuan Labuan dan Johor masing-masing lapan kes, Kelantan (tujuh), Terengganu (empat) serta Sarawak, Melaka dan Wilayah Persekutuan Putrajaya masing-masing merekodkan satu kes,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.


Dr Noor Hisham berkata terdapat empat kes kematian COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia akibat wabak itu adalah 313 kes.


‘’Empat kematian itu membabitkan dua lelaki berusia 46 dan 54 tahun serta dua wanita berusia 73 dan 51 tahun yang kesemuanya dari Sabah.


Mereka menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan Hospital Tawau,’’ katanya.

Sehingga kini, terdapat 102 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 39 kes memerlukan bantuan pernafasan. – Bernama