• Wartawan Nabalu News

1,205 kes Covid hari ini, kes harian dijangka terus meningkat


5 Feb 2022 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Jumlah kes harian di Sabah melepasi paras 1,000 hari ini dengan 1,205 kes baharu, meningkat 296 kes berbanding semalam. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kes Covid-19 di Sabah naik tiga kali ganda dalam masa tiga hari. Beliau berkata, empat daerah mencatatkan kes tiga angka iaitu Sandakan 230 kes (+45), Kota Kinabalu 213 kes (+112), Penampang 113 kes (-2) kes dan Tuaran 113 kes (+27). “Sebanyak 13 daerah mencatatkan kes harian dua angka dengan jumlah yang tinggi dibeberapa daerah. “Antaranya ialah Papar 84 kes (+48), Kota Marudu 74 kes (+21), Beaufort 62 kes (+5), Ranau 55 kes (+25), Lahad Datu 53 kes (-4), Tawau 52 kes (+21) dan Kota Belud 33 kes (+22). Hanya Kalabakan tidak merekodkan sebarang kes baharu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Masidi berkata, peratusan kes baharu yang berpunca daripada jangkitan sporadik adalah tinggi, 527 atau 43.7 peratus hari ini. Katanya, statistik ini menunjukkan virus itu sudah bertapak dalam komuniti dan akan mengakibatkan kadar jangkitan yang lebih cepat dan meluas. “Adalah dijangka jumlah kes harian akan terus melambung naik dalam tempoh terdekat. ‘It will get worse before it gets better’,” katanya.