top of page

1,478 premis diperiksa sepanjang SHMMP Pesta Kaamatan, Hari Gawai 2025

  • nabalunews
  • Jun 12
  • 1 min read

12 Jun 2025


PUTRAJAYA: Sebanyak 1,478 premis perniagaan diperiksa sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2025.


Skim tersebut dilaksanakan dari 27 Mei hingga 2 Jun bagi Pesta Kaamatan dan dari 29 Mei hingga 4 Jun bagi Hari Gawai sebagai intervensi kerajaan menangani kos sara hidup sempena sambutan perayaan terbabit.


Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, bagi SHMMP Pesta Kaamatan, sebanyak 667 pemeriksaan dijalankan ke atas premis borong dan premis runcit.


“Sepanjang tempoh kuat kuasa skim, dua tindakan undang-undang diambil terhadap peniaga ingkar yang gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Bagi pelaksanaan SHMMP Hari Gawai pula katanya, sebanyak 811 pemeriksaan dijalankan dengan sembilan tindakan undang-undang telah diambil terhadap peniaga yang ingkar.


“Tindakan ini melibatkan sitaan bernilai RM1,647.40. Semua kesalahan melibatkan kegagalan menggunakan tanda harga khas merah jambu di bawah SHMMP,” katanya.


Bagaimanapun katanya, tiada aduan diterima sepanjang pelaksanaan kedua-dua skim tersebut, sekali gus menunjukkan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan peniaga.


“Majoriti peniaga yang diperiksa menunjukkan komitmen dan mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuat kuasa.


“Kementerian merakamkan penghargaan kepada pihak industri dan para peniaga atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan SHMMP ini,” katanya.


Selain itu, Azman berkata, berdasarkan pemantauan kementerian serta maklum balas orang ramai, pelaksanaan kedua-dua SHMMP tersebut disifatkan berjalan baik dan lancar.


Sebanyak 10 jenis barangan dikawal harga di bawah SHMMP Pesta Kaamatan 2025, meningkat daripada lapan pada 2024, manakala bagi SHMMP Hari Gawai 2025 melibatkan kawalan harga ke atas 11 jenis barangan berbanding lapan pada tahun sebelumnya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page