• Wartawan Nabalu News

1,995 PATI BERJAYA DIUSIR DALAM OCP DI PERAIRAN TAWAU



1 NOVEMBER 2020

TAWAU: Operasi Cegah Pendatang Asing Tanpa Izin (OCP) Laut di daerah ini berjaya mengusir balik sekurang-kurangnya 1,995 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki perairan daerah ini secara tidak sah dari April sehingga Oktober.

Ketua Staf Operasi Laut Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Laksma (M) Hamid Mohd Amin berkata kesemua mereka ditahan semasa memasuki daerah ini melalui laluan tidak diwartakan di sekitar perairan batu 1 hingga batu 5, Jalan Apas.

“Bagaimanapun, tindakan kita pada masa kini ialah mengusir atau mengarahkan mereka balik ke negara asal mereka masing-masing bagi mengekang dan memutuskan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan PATI”, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kejayaan itu adalah hasil kerjasama dan sokongan semua agensi keselamatan di daerah ini dalam melaksanakan operasi bersepadu dalam OCP.

Menurutnya lagi, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi penguatkuasa dalam OCP laut akan terus memperketatkan kawalan di sempadan perairan daerah ini terutamanya kemasukan PATI dari Pulau Sebatik, Indonesia bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“OCP Laut yang mula diaktifkan pada awal April lalu, merupakan sebuah Operasi Bersepadu Khas melibatkan pelbagai agensi keselamatan yang ditubuhkan khusus bagi mengekang kemasukan PATI dari negara Jiran ke negara ini.

“Sebanyak tiga buah kapal dan lapan bot telah diatur gerak dalam operasi ini melibatkan kekuatan anggota seramai Sembilan pegawai dan 89 anggota lain-lain pangkat.


“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi penguatkuasaan yang turut terlibat dan membantu dalam operasi ini seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)”, katanya.

Sementara itu, Hamid menyeru kepada semua Komuniti maritim pesisir pantai memberikan kerjasama dengan menyalurkan makluamt penting mengenai pencerobohan masuk PATI melalui laluan yang diwartakan kepada pasukan keselamatan untuk tindakan segera.

“Komuniti Maritim juga diingatkan supaya jangan bersubahat dan bersekongkol dengan tekong-tekong laut yang cuba menyeludup masuk PATI ke daerah ini.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati ada pihak dalam kalangan komuniti yang bertindak bersubahat dan melindungi PATI termasuk bersekongkol dengan Tekong-Tekong laut,” katanya.