- nabalunews
1 kes kematian akibat komplikasi demam denggi
2 September 2024
PUTRAJAYA: Satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-34 tahun 2024 (ME 34/2024) bagi tempoh 18 hingga 24 Ogos lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada tempoh tersebut berkurangan kepada 1,980 kes berbanding 2,294 kes pada minggu sebelumnya.
“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME 34/2024 adalah sebanyak 94,807 kes berbanding 78,277 kes bagi tempoh sama tahun 2023.
“Manakala terdapat 84 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 55 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Buletin TV3.
Jelasnya, sebanyak 85 lokaliti hotspot dilaporkan pada ME 34/2024 berbanding 91 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.
Daripada jumlah itu, 68 lokaliti dicatatkan di Selangor, masing-masing empat lokaliti di Negeri Sembilan dan Kelantan, Kuala Lumpur dan Putrajaya (3), Perak (3), Sabah (2) serta Kedah (1).
Mengulas lanjut, menurut Dr Muhammad Radzi, dua kes survelan chikungunya direkodkan pada ME 34/2024 menjadikan jumlah kumulatif kes tersebut sehingga kini adalah 68 kes.
Bagaimanapun, tiada wabak chikungunya dilaporkan pada Minggu Epidemiologi berkenaan.
“Bagi survelan zika, sebanyak 1,781 sampel darah, lapan sampel urin serta tiga sampel cairan serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan keputusannya adalah negatif,” katanya.
Comments