- nabalunews
10,500 BAKUL MAKANAN AKAN DIAGIHKAN KEPADA GOLONGAN TERJEJAS COVID DI KOTA KINABALU

18 Feb 2021
KOTA KINABALU : Sejumlah 10,500 bantuan bakul makanan akan diagihkan sepanjang Februari ini kepada golongan terjejas pandemik Covid-19 sekitar Kota Kinabalu.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Noorliza Awang Alip berkata, bantuan disampaikan kepada tiga kategori iaitu e-kasih, golongan B40 serta penduduk yang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
"Daripada jumlah tersebut, 1,700 bakul makanan telah diagihkan dengan bantuan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Angkatan Pertahanan Awam.
"DBKK juga sedia berkerjasama bersama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjayakan proses tersebut," katanya dalam Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin RM300 dan Bantuan Bakul Makanan Covid-19 Kerajaan Negeri Sabah Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu di Dewan Masyarakat Manggatal, hari ini.
Pada majlis berkenaan, penyerahan bantuan bakul makanan kategori e-kasih dan golongan B40 diberikan kepada wakil bagi lapan kawasan iaitu Karambunai, Darau, Inanam, Likas, Api-Api, Luyang, Tanjung Aru dan Kepayan manakala Bantuan Prihatin RM300 pembayaran secara sekali kategori penjaja diberikan kepada wakil dari Pasar Telipok, Pasar Besar Kota Kinabalu, Pasar Manggatal, Pasar Tanjong Aru, Gerai Damai, Gerai Bukit Padang, Gerai Kepayan Yu Sang dan Gerai Anjung Perdana.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan selaku wakil kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor. /PENERANGAN