• Wartawan Nabalu News

10 DAERAH CATAT SIFAR KES BAHARU, 101 KES, BILANGAN TERENDAH SEJAK 1 OKT TAHUN LALU


Perkembangan kes Covid-19 di Sabah, 13 Feb 2021.

13 Feb 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sepuluh daerah di Sabah mencatatkan sifar kes baharu Covid-19 hari ini iaitu Nabawan, Papar, Kudat, Kota Marudu, Telupid, Tongod, Ranau, Beaufort, Pitas dan Tenom.


Manakala daerah yang mencatatkan kes tertinggi ialah Tambunan iaitu 23 kes daripada jumlah keseluruhan kes baharu di Sabah sebanyak 101 kes dan satu kes kematian dilaporkan di Kalabakan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daerah kedua mencatatkan kes tertinggi ialah Keningau dengan 20 kes, diikuti Tawau (14 kes), Kota Kinabalu dan Beluran masing-masing tujuh kes.


"Lahad Datu dan Kota Belud masing-masing enam kes, Kalabakan (empat kes), Putatan (tiga kes), Sandakan, Semporna dan Kunak masing-masing dua kes, Kinabatangan, Penampang, Tuaran dan Sipitang masing-masing satu kes," katanya dalam kenyataan, akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, jumlah 101 kes pada hari ini merupakan bilangan terendah sejak 01 Oktober tahun lalu.


"Selepas tarikh tersebut, penularan kes Covid-19 di Sabah terus merekodkan peningkatan melepasi jumlah 100 kes sehari.


"Kemuncak jangkitan pandemik ini ialah pada 06 November 2020 di mana sejumlah 1,199 kes dicatatkan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri amat mengharapkan agar bilangan kes di negeri ini terus mencatatkan penurunan selepas ini.


"Sehubungan itu, adalah diharapkan rakyat Sabah dapat mematuhi arahan-arahan semasa dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan khususnya pada musim perayaan.


"Tidak mustahil kita akan mencapai sifar Covid-19 sekiranya rakyat dapat mengekalkan amalan norma baharu dalam kehidupan seharian sebagaimana yang diamalkan sekarang," katanya.


Masidi berkata, daripada 101 kes positif Covid-19 yang dicatatkan, sebanyak 71 kes (70.3%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 12 kes (11.9%), saringan kluster sedia ada empat kes (3.9%) dan 14 kes (13.9%) adalah dari lain-lain kategori.


Masidi berkata, hari ini seramai 174 pesakit Covid-19 telah sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 49,148 orang.


"Pada hari ini, sejumlah 1,150 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 456 orang di hospital, 691 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan tiga orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.


"Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 58 orang dan 22 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.