top of page
Wartawan Nabalu News

10 MURID KURANG BERKEMAMPUAN DI KG BANGINGOD TERIMA SUMBANGAN TABLET, WIFI & BASIKAL



30 Jan 2021

Oleh Syabil Syafi


LAHAD DATU: Kesukaran 10 murid kurang berkemampuan dari Kampung Bangingod disini untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) melalui dalam talian kini dapat menarik nafas lega apabila menerima sumbangan Tablet dan Wifi daripada Penceramah Bebas Ustaz Ebit Liew.


Difahamkan, murid-murid yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangingod itu terpaksa ke tepi pantai dan duduk di jeti berhampiran bagi mendapatkan talian internet untuk tujuan PdPR yang dilaksanakan sejak 20 Januari lalu.



Guru Besar SK Bangingod Mohd Sapihi Mat Yassin berkata, selain menerima sumbangan Tablet dan Wifi, murid-murid berkenaan turut menerima sumbangan basikal setiap seorang bagi kegunaan ulang-alik ke sekolah.


Katanya, pihaknya mengakui terkejut apabila dihubungi oleh wakil penceramah bebas berkenaan dan ia dilaksanakan pada saat akhir.


“Sebenarnya sumbangan ini bukan dirancang dan ini juga adalah atas inisiatif seorang guru kami yang sering mengadakan program membantu pelajar yang kurang berkemampuan sebelum ini. Syukur kami dapat mengumpulkan seramai 10 murid yang kurang berkemampuan untuk sumbangan ini.



“Bagi pihak sekolah, kami merakamkan terima kasih kepada Ustaz Ebit Liew atas sumbangan ini dan sudah pasti ia dapat meringankan beban murid yang sangat daif dan tidak mempunyai peranti untuk mengikuti PdPR dalam talian,”katanya ketika dihubungi Nabalu News disini hari ini.


Mohd Sapihi berkata, sebelum ini pihaknya turut menyediakan modul pembelajaran kepada murid yang tidak dapat mengikuti pembelajaran PdPR dalam talian.


“Ini adalah tanggungjawab kami, modul ini kami sediakan dan kami hantar ke rumah murid terlibat agar mereka tidak tercicir dalam pembelajaran harian sepanjang PdPR,”katanya.


Sementara itu, Ustaz Ebit Liew menerusi catatan catatan di laman Facebooknya melahirkan perasaan gembira bercampur sebak apabila dapat memasang perkhidmatan WiFI di kampung berkenaan bagi kegunaan penduduk di sana.


“Pagi tadi ke Kampung Bangingod Felda Sahabat Lahad Datu, tak sangka dapat lihat rumah yang kecil sangat. Nak internet perlu pergi ke pantai dan atas titi.


“Kawasan ini ramai yang susah, Cikgu Yandy dan Guru Besar SK Bangingod sendiri dapatkan nama yang memerlukan, mereka juga siap hantar kerja sekolah ke rumah nak pastikan semua belajar,” katanya.


Katanya, dia mendapatkan perkhidmatan internet dengan memasangnya di sebuah kedai dan akan membayar setiap bulan untuk kegunaan anak-anak disana.

Comentários


bottom of page