top of page
  • Wartawan Nabalu News

102 SEKOLAH MENENGAH MEMPUNYAI KES COVID SEHINGGA 8 FEB: MASIDI


8 Feb 2021


Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sebanyak 102 daripada 221 buah sekolah menengah disahkan mempunyai kes Covid-19 dari 16 Jan hingga 8 Feb.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan membuat penelitian dan penilaian setiap kes yang dilaporkan, sebelum membuat keputusan untuk menutup sekolah yang mempunyai kes positif Covid-19.

"Sekiranya terdapat bukti yang menunjukkan penularan virus menyebabkan terjadinya kluster di sekolah, maka Pegawai Kesihatan di daerah akan membuat keputusan untuk menutup sekolah dan menghentikan aktiviti persekolahan selama 10 hari untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditanya apa kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada sekolah perlu ditutup atau tidak sekiranya terdapat kes Covid-19 di sekolah berkenaan.


Masidi berkata, penutupan sekolah juga membolehkan kontak-kontak rapat kepada kes disaring dengan lebih berkesan.


"Jika pengesanan kes dapat dilakukan dengan awal sebelum terjadinya kluster, kontak-kontak rapat kepada kes akan disaring dan diasingkan dalam kuarantin.


"Aktiviti persekolahan boleh diteruskan dengan pengamalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan pemantauan simptom di kalangan pelajar-pelajar dan guru," katanya.


bottom of page