• nabalunews

11 KLUSTER BAHARU COVID-19 DIKESAN TERMASUK DI PUSAT DIALISIS, KENDURI KAHWIN

Updated: Feb 4


13 JAN 2021


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 11 lagi kluster baharu COVID-19 hari ini, termasuk melibatkan kluster di sebuah pusat dialisis di Melaka dan penganjuran majlis perkahwinan di Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sembilan kluster lain dikesan masing-masing dua di Selangor dan Kuala Lumpur, tiga di Johor dan masing-masing satu di Kelantan dan Kedah.

Beliau berkata kluster di Melaka iaitu Kluster Dialisis Malim dikesan di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah melibatkan kes indeks (kes ke-130982) yang dilaporkan positif pada 8 Jan hasil saringan individu bergejala.

“Nama kluster merujuk kepada lokaliti kes-kes dalam kluster ini dilaporkan iaitu di sebuah pusat dialisis yang terletak di Jalan Malim, Balai Panjang, Melaka dan sehingga kini, 75 individu telah disaring dengan 13 kes positif dikesan,” katanya pada sidang media perkembangan jangkitan COVID-19 di KKM, hari ini.

Di Negeri Sembilan, Kluster Kampung Tengah membabitkan majlis perkahwinan dikesan di daerah Seremban melibatkan kes indeks (kes ke-127016) dilaporkan positif COVID-19 pada 7 Jan hasil saringan individu bergejala.

Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini, sejumlah 130 individu disaring dengan 20 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster itu.

Sementara itu di Selangor, Kluster Taman Integrasi Kluster iaitu kluster di tempat kerja ini melibatkan daerah Gombak di Selangor dengan kes positif dilaporkan bermula pada 10 Jan hasil saringan bersasar di sebuah kilang.

Katanya, nama kluster merujuk kepada lokaliti asrama pekerja kilang tersebut di Rawang Integrated Industrial Park dan sehingga kini, sejumlah 250 individu disaring dengan 119 kes dikesan positif.

Katanya, kluster di tempat kerja adalah Kluster Jalan Ijuk melibatkan daerah Petaling, Kuala Langat, Sepang, Klang dan Hulu Langat di Selangor.


“Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif bermula pada 10 Jan hasil saringan bersasar di sebuah kilang di Jalan Ijuk 26/5, Hicom Industrial Estate, Shah Alam dan sehingga kini sejumlah 262 individu disaring dengan 99 kes dikesan positif. - Bernama