- Wartawan Nabalu News
114 KES BAHARU COVID-19, MENINGKAT 20 KES, TIGA KEMATIAN

18 Feb 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini sebanyak 114 kes meningkat 20 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 51,769 kes.
Turut direkodkan tiga kes kematian iaitu dua di Tawau dan satu kes di Kinabatangan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu sebanyak 58 kes berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala (enam kes), saringan kluster baharu dan sedia ada (37 kes), pra kemasukan wad / rawatan (tiga kes), saringan tempat kerja/ masuk kerja (lima kes) dan lima kes dari lain-lain kategori.
"Kota Kinabalu dan Penampang masing-masing mencatatkan 17 kes baharu, Lahad Datu (15 kes), Tawau (12 kes), Kota Belud (11 kes), Tuaran (sembilan kes), Keningau (lapan kes), Sandakan (tujuh kes), Kalabakan (empat kes), Kota Marudu dan Semporna masing-masing tiga kes.
"Beluran, Papar dan Tambunan masing-masing dua kes, Kudat dan Pitas masing-masing mencatatkan satu kes.
"Sebanyak 11 daerah tidak mencatatkan kes baharu iaitu Tenom, Putatan, Sipitang, Beaufort, Kinabatangan, Nabawan, Kunak, Telupid, Ranau, Kuala Penyu dan Tongod," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, hari ini, seramai 131 pesakit Covid-19 sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 50,237 orang.
"Pada hari ini juga sejumlah 897 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 345 orang di hospital, 549 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan tiga orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.
"Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 56 orang dan 19 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.