- Wartawan Nabalu News
117 KES POSITIF BAHARU COVID-19 DI SABAH, EMPAT KEMATIAN

13 April 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini adalah sebanyak 117 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 56,023 kes dan empat kematian direkodkan iaitu tiga di Tawau dan satu di Nabawan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada 117 kes positif Covid-19, sebanyak 65 kes (55.6%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 14 kes (11.9%) saringan bergejala, 35 kes (29.9%) dari kluster baharu dan sedia ada serta tiga kes dari lain-lain kategori.
"Tawau masih mencatatkan kes baharu tertinggi iaitu 61 kes, diikuti Lahad Datu sebanyak 19 kes, Sandakan, Kota Kinabalu dan Tuaran masing-masing tujuh kes.
"Putatan merekodkan empat kes, Kota Belud, Kunak dan Nabawan masing-masing tiga kes, Papar, Keningau dan Beaufort masing-masing satu kes.
"Daerah yang tidak mencatatkan kes baharu hari ini ialah Kalabakan, Kinabatangan, Penampang, Semporna, Ranau, Sipitang, Pitas, Tambunan, Kudat, Tenom, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Kuala Penyu dan Tongod," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh 78 menjadikan jumlah kumulatif 54,704 orang.
Beliau berkata, seramai 814 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 328 orang di hospital dan 486 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam.
"Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 47 orang dan 15 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.