top of page

12 keluarga terlibat tanah runtuh digesa untuk pindah ke tempat yang lebih selamat

Wartawan Nabalu News

Gambar hiasan.

3 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


RANAU: Selepas kejadian tanah runtuh baru-baru ini, sebanyak 12 keluarga di Kampung Lembah Permai telah dinasihatkan untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat.


Menurut Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, Kundasang merupakan kawasan tanah tinggi dan mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk berlakunya kejadian tanah runtuh dan pergerakan tanah.


Beliau turut menasihati penduduk kampung agar sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa pada bila-bila masa.


“Kalau keadaan tidak selamat maka mereka dinasihatkan untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat secepat mungkin,” katanya.


Sementara itu, usaha untuk mencari tapak baharu untuk penempatan penduduk kampung yang terjejas juga sedang diusahakan.


Terdahulu, satu kejadian gelinciran tanah atau tanah runtuh berlaku di kampung tersebut melibatkan 12 keluarga yang terjejas teruk.


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pusat Kawalan Operasi dan Bencana (PKOB), Jumain Abdul Ghani, kejadian tanah runtuh baru-baru ini disebabkan oleh hujan lebat ke atas cerun yang mempunyai lapisan tanah dengan batuan retak.


Jelas beliau, lapisan tersebut membekalkan serpihan batuan bersama tanah ke dalam saliran cerun bermula daripada tanah runtuh tebing saliran atau sedimen mudah terangkut yang masih berada di bahagian atas cerun.


Oleh itu, penduduk di kawasan terjejas dinasihati untuk sentiasa bersiap siaga dan berpindah sekiranya perlu. Selain itu, pelaporan dari pemimpin kampung berkaitan dengan situasi semasa kampung perlu dihantar kepada PKOB setiap lima jam.


Jumain mengucapkan terima kasih kepada anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) atas komitmen yang diberikan. Penduduk juga perlu berhubung dengan PKOB khususnya APM.


"Diharapkan penduduk Kg. Lembah Permai akan bekerja sama dalam melancarkan proses perpindahan," tambah Jumain.

Comments


bottom of page