12 pengawas Pusat Sumber SK Pulau Mabul dibawa melawat Perpustakaan
15 Disember 2024
SEMPORNA: Sekumpulan 12 pengawas Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Mabul, dekat sini, mendapat pengalaman baharu apabila menempuh perjalanan merentasi laut selama 45 minit dengan menaiki bot pada jarak 24.89 kilometer (km) untuk melawat ke Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Semporna, sempena program Lawatan Sambil Belajar.
Guru Perpustakaan dan Media, Nor Asikin Pudin yang mengetuai rombongan itu berkata program lawatan itu berjaya memberi satu pengalaman baharu kepada murid-murid terlibat yang berpeluang melawat Perpustakaan.
"Lawatan ini bertujuan untuk mendedahkan pengawas pusat sumber kepada asas Sains Perpustakaan, di samping mempelajari sejarah penubuhan Perpustakaan Negeri Sabah cawangan Semporna," katanya pada Jumaat.
Dalam lawatan itu, katanya, rombongan diberikan taklimat dan dibawa ke seksyen remaja dan kanak-kanak bagi merasai sendiri pengalaman berada di perpustakaan.
Beliau menyifatkan pengisian program itu amat bertepatan dengan tema 'Membuka Mata, Menimba Pengalaman, Menjana Pengetahuan' bagi lawatan itu yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pulau Mabul.
Turut hadir, Ketua Perpustakaan, Suriati Sahrul; Penolong Pegawai Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna, Arman Abdul Rahim dan Yang Di-Pertua PIBG SK Pulau Mabul, Mad Zafar Mad Zahala.
Comments