• Wartawan Nabalu News

13 NOTIS DIKELUARKAN KEPADA PENIAGA PERALATAN ELEKTRONIK DI NEGERI INI



29 Jan 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sebanyak 13 notis dikeluarkan kepada peniaga peralatan elektronik di negeri ini kerana disyaki menaikkan harga.


Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah, Georgie Abas berkata, para peniaga berkenaan diberikan tempoh dua hari untuk membekalkan maklumat yang diarahkan KPDNHEP.


Beliau berkata, jika peniaga gagal memberikan maklumat dalam tempoh yang ditetapkan, ianya suatu kesalahan di bawah Seksyen 21(5) AKHAP 2011 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala bagi pertubuhan/perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM100,000.


“Sekiranya didapati berlaku pengambilan untung berlebihan (mencatut) ianya satu kesalahan di bawah Seksyen 14(1) AKHAP 2011 dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.


“Bagi mana-mana pertubuhan perbadanan yang disabitkan atas suatu kesalahan di bawah Akta ini boleh didenda tidak melebihi RM500,000.


“Sehubungan itu, semua peniaga diingatkan supaya tidak menaikkan harga peralatan elektronik seperti komputer meja, komputer riba, tablet, mesin pencetak dan telefon bimbit secara tidak berpatutan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Georgie berkata, KPDNHEP telah melaksanakan Ops Catut 8.0 sejak 25 Jan lalu dan sehingga kini 15 premis perniagaan menjual peralatan elektronik seperti komputer riba (laptop), komputer meja (desktop), mesin pencetak (printer), tablet dan telefon bimbit diperiksa di seluruh Sabah.


Beliau berkata operasi itu dilaksanakan kerana mendapati bekalan peralatan elektronik berkenaan mencatatkan jualan tinggi terutama mesin pencetak dan komputer riba sejak akhir-akhir ini.


“Ops Catut 8.0 bertujuan membendung salah laku atau manipulasi harga oleh para peniaga susulan pembelajaran dalam talian bagi murid dan pelajar untuk sesi persekolahan yang bermula 20 Januari lalu.

 

Beliau turut menasihatkan para peniaga supaya menjalankan perniagaan secara beretika dan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan KPDNHEP.