• Wartawan Nabalu News

14 DAERAH DI SABAH KEKAL ZON MERAH COVID-19



10 DIS 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sebanyak 14 daerah di Sabah masih dikategorikan sebagai zon merah Covid-19 dan dua daerah kekal zon hijau iaitu Sipitang dan Nabawan.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kawasan zon merah ialah Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan, Tawau, Tuaran, Penampang, Kota Belud, Putatan, Papar, Kudat, Keningau, Semporna, Pitas dan Beluran.


“Pada hari ini Sabah mencatatkan 274 kes baharu iaitu meningkat 71 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negeri ini sebanyak 31 534 kes.


“Dua kes kematian turut dilaporkan hari ini, masing-masing di Keningau dan Sandakan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata kes-kes jangkitan mengikut daerah ialah, Kota Kinabalu mencatatkan 67 kes, Lahad Datu (66 kes), Sandakan (38 kes), Tawau (34 kes), Tuaran dan Penampang masing-masing 19 kes, Kota Belud (10 kes).


“Putatan (enam kes), Papar (lima kes), Kudat (tiga kes), Keningau dan Semporna masing-masing dua kes, Kota Marudu, Kinabatangan dan Telupid masing-masing satu kes. Daerah-daerah lain tidak mencatatkan kes baharu,” katanya.