• nabalunews

15 SETIAUSAHA POLITIK MENTERI SABAH ANGKAT SUMPAH


9 Nov 2020

KOTA KINABALU: Seramai 15 setiausaha politik kepada menteri-menteri Sabah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini hari ini.

Upacara angkat sumpah itu didahului Ketua Setiausaha Politik Abdul Kassim Razali.

Pada majlis itu, Hajiji mengingatkan semua setiausaha politik yang baharu dilantik agar menggalas tanggungjawab yang diamanahkan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Rakyat telah memberi mandat kepada kerajaan baharu untuk mentadbir negeri dan menjadi tanggungjawab kita melakukan yang terbaik, lebih-lebih lagi ketika penularan wabak Covid-19 yang mencetuskan cabaran dan kesulitan dalam semua sektor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hajiji turut menggesa semua setiausaha politik yang baharu agar menjadi telinga kepada kerajaan dan membetulkan berita tidak sahih yang disebarkan pembangkang menerusi media sosial.

“Sudah tiba masa untuk bekerja. Lakukan tugas dengan baik untuk menyokong menteri dan jadilah satu pasukan yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji mengulangi usaha kerajaan negeri Sabah dalam membantu mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19 menerusi peruntukan tambahan RM160 juta yang telah memberi manfaat kepada lebih satu juta penerima.

“Sejumlah 144,000 bakul makanan telah diedarkan kepada mereka di kawasan terjejas,” katanya.