- Wartawan Nabalu News
16 kes kelesuan haba di Sabah sejak April

3 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sebanyak 16 kes berkaitan cuaca panas telah dilaporkan di Sabah sejak bulan April hingga 1 Ogos tahun ini, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Asits Sanna berkata, kes-kes itu melibatkan sepuluh kes kelesuan haba, tiga kes kekejangan haba dan tiga kes strok haba.
"Kes terkini ialah seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang mengalami kelesuan haba selepas terlibat dalam aktiviti bersukan dalam keadaan cuaca panas.
“Beliau telah mendapat rawatan di hospital dan dibenarkan pulang pada hari yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan status cuaca panas bagi empat daerah di Sabah iaitu Tuaran, Nabawan, Beluran dan Kinabatangan dengan suhu maksimum harian antara 35°C hingga 37°C.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang awam supaya mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan kesan negatif cuaca panas terhadap kesihatan.
Antara langkah-langkah yang dicadangkan ialah minum air kosong yang mencukupi, kurangkan pengambilan minuman berkafein, alkohol dan bergula, kurangkan aktiviti fizikal semasa cuaca panas, menggunakan pendingin hawa atau kipas, memakai pakaian yang ringan dan berwarna terang serta memakai topi atau paying.
Selain itu, orang awam juga diingatkan untuk sentiasa peka dengan kehadiran haiwan liar seperti ular yang mungkin mencari tempat yang redup dan banyak sumber makanan.
"Jika anda mengalami simptom-simptom seperti pening, loya, muntah, kulit kering dan panas, nadi laju dan lemah, penglihatan kabur atau pengsan akibat cuaca panas, segera dapatkan rawatan perubatan," katanya.