top of page
Wartawan Nabalu News

160,377 usahawan PKS gulung tikar sepanjang PKP


Gambar Hiasan

14 Dis 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Sebanyak 160,377 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) gulung tikar sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara sejak Mac 2020 hingga 28 Jun tahun ini.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar menyatakan demikian dalam jawapan bukan lisan kepada Ahli Parlimen Kangar (PKR) Noor Amin Ahmad yang bertanya bilangan usahawan PKS yang gulung tikar sejak Mac 2020.


Menurut Noh Omar, jumlah tersebut adalah berdasarkan beberapa siri kaji selidik oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).


“Berdasarkan kaji selidik ke atas usahawan semasa Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP1.0) yang dijalankan pada 10 hingga 17 April 2020 didapati sebanyak 8.85 peratus usahawan gulung tikar melibatkan sebanyak 101,893 bilangan usahawan.


“Manakala semasa PKP 2.0 pula sebanyak 21,069 bilangan usahawan bersamaan 1.83 peratus gulung tikar berdasarkan kaji selidik pada 15 Februari hingga 5 Mac 2021.


“Akhir sekali kaji selidik pada 15 hingga 28 Jun 2021 mendapati sebanyak 37,415 usahawan bersamaan 3.15 peratus gulung tikar,” jelasnya.

Comments


bottom of page