Marryan Razan
175 pain darah berjaya dikumpul dalam Kempen Derma Darah di Telupid

3 September 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
TELUPID: Sebanyak 175 pain darah berjaya dikumpul dalam Kempen Derma Darah selama dua hari anjuran Majlis Belia Derah Telupid, Persatuan Talasemia, Jabatan Transfusi Darah Queen Elezabeth Hospital dan 15 organisasi lain, di Dewan SK Telupid, baru-baru ini.
Presiden Penaja Majlis Belia Telupid Emanuel Atin berkata, kempen itu diadakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan.
“Kempen ini antaranya bertujuan untuk membantu mengisi tabung darah hospital untuk pesakit yang amat memerlukannya.

“Saya berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran kepada masyarakat khususnya penduduk luar bandar kepentingan menderma darah untuk menyelamatkan nyawa seseorang. Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini,” katanya.
Sementara itu wakil Jabatan Transfusi Darah Hospital Queen Elizabeth 2 Dr.Dinesh Parakash berkata, sebanyak 1,000 pain darah diperlukan setiap bulan.
Oleh itu beliau menyeru para belia lebih aktif dalam penyertaan aktviti menderma darah.
Pengerusi Persatuan Talasemia Francis Mukim berkata, pihaknya mensasarkan untuk mengumpul 200 pain darah tetapi hanya 175 pain berjaya dikumpul kerana ramai penderma yang mendaftar tidak layak menderma.

“Dalam dua hari kempen itu berlangsung, seramai 240 orang penderma mendaftar namun hanya 175 orang berjaya atau layak untuk menderma darah.
“Saya gembira atas sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk daerah Telupid kerana mereka memahami keperluan bekalan darah yang amat kritikal,” katanya.
Francis berkata, ada ibu bapa yang menghadapi masalah anak Talasemia dan merayu agar bekalan darah yang diperolehi sepanjang program itu dapat diberikan kepada anaknya.

Ketua Bahagian UPKO Beluran, merangkap Ketua Pemuda Pusat Felix Joseph Saang turut hadir dan memberikan sumbangan kepada Majlis Belia Daerah Telupid.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telupid Jonnybone J.Kurum memuji usaha pelbagai pihak menjayakan kempen itu dan berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
Jonnybone dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta individu turut memberikan sumbangan untuk menjayakan kempen itu.