- Wartawan Nabalu News
18 daerah di Sabah rekod penurunan kes, 1,255 kes baharu Covid

20 Sept 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINBALU: Sabah merekodkan penurunan kes Covid-19 di 18 daerah hari ini dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,255 kes iaitu angka terendah sejak 10 Ogos.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, antara daerah yang merekodkan penurunan kes ialah Kota Kinabalu dengan catatan 176 kes, Lahad Datu (71 kes), Sandakan (86 kes) dan Penampang (58 kes).
Selain itu, beliau berkata jumlah kes kematian yang direkodkan hari ini juga telah menurun kepada 19 kes.
“Daripada jumlah keseluruhan kes kematian tersebut, lima kes di Lahad Datu, empat kes di Tawau dan Sandakan manakala Putatan, Beaufort, Penampang, Kudat, Kalabakan dan Kota Kinabalu masing-masing mencatatkan satu kes,” katanya.
Menurut Masidi, saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada keseluruhan kes hari ini iaitu sebanyak 602 kes, diikuti saringan bergejala sebanyak 357 kes, saringan kluster (86 kes), saringan bersasar (81 kes) dan saringan lain-lain (129 kes).
"Kategori 2 masih kumpulan terbesar pesakit, iaitu dengan 800 kes, diikuti Kategori 1 sebanyak 391 kes, Kategori 3 sebanyak enam kes, Kategori 4 (10 kes) dan Kategori 5 (12 kes).
“Manakala jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital atau sembuh hari ini pula sebanyak 2,129 menjadikan jumlah kumulatif 162,543 orang,” katanya.
Tambah Masidi, seramai 3,959 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,418 orang di hospital, 2,468 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 66 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala tujuh orang di fasiliti swasta.
“Sehingga hari ini, seramai 180 orang pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal dengan 67 orang daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.