• Wartawan Nabalu News

18 kematian, 1,352 kes Covid-19 hari ini di Sabah



9 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah pada hari ini sebanyak 1,352 kes meningkat 136 kes berbanding kelmarin, menjdikn jumlah kumulatif sebanyak 355,892 kes.

Sebanyak 18 kes kematian dilaporkan hari ini iaitu enam kes di Kota Belud, tiga kes di Kota Kinabalu, dua kes di Lahad Datu dan masing-masing satu di Sandakan, Tambunan, Kota Marudu, Kinabatangan, Keningau, Tuaran serta Beluran.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.


“Pertambahan jumlah kes yang agak banyak dibeberapa daerah yang merekodkan kes dua angka kelmarin adalah isyarat jelas akan berlaku pertambahan kes-kes baharu dalam masa terdekat.


“Peratusan kes-kes sporadik yang tinggi (60.65 peratus hari ini) di 22 daerah di Sabah juga satu petanda Sabah belum sampai ke fasa stabil dan akan berlaku trend turun-naik secara mendadak jumlah kes harian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, daripada jumlah keseluruhan kes baharu hari ini sebanyak 1,340 atau 99.12 peratus adalah dalam Kategori 1 dan 2, tiga kes dalam Kategori 3, tujuh kes dalam Kategori 4 dan dua kes dalam Kategori 5.


Mengenai bilangan pesakit Covid-19 sembuh, beliau berkata, seramai 2,532 orang (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 322,114 orang.


“Manakala 1,251 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 837 orang di hospital, 395 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 16 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS)/ penjara dan tiga orang di fasiliti swasta.


“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 53 orang merangkumi 47 di ICU/repurposed kritikal care sert enam di open ward (HDW/kubikel akut) dan 22 orang lagi memerlukan alat bantuan Pernafasan,” katanya.