• Wartawan Nabalu News

180 PELAJAR SPM SMK KONVENT ST. CECILIA TERIMA BANTUAN & MOTIVASI


Dr. Peter bersama para pelajar SPM SMK Konvent St. Cecilia

11 Feb 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Seramai 180 pelajar SMK Konvent St.Cecilia Sandakan mendapat Motivasi "Selamat Kembali Ke Sekolah" anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu.


Yang DiPertua PIBG Dr. Peter Jr Naintin berkata, program itu khusus untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 22 Feb ini.


"PIBG menganjurkan program motivasi ini bagi meningkatkan keyakinan dan semangat calon-calon SPM, sebelum mereka menduduki peperiksaan SPM.

"Ini kerana kita menyedari pendidikan amat penting dalam membentuk kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan. Saya berharap para pelajar dapat menguatkan semangat dan semoga berjaya sehingga ke menara gading," katanya.


Dr. Peter berkata, sebagai galakan dan penghargaan kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam SPM, Biro Kegiatan Prestasi PIBG juga akan memberikan sumbangan atau ganjaran.

Dr. Peter menyampaikan sumbangan kepada Pelajar Tingkatan 5, Kohort 2020 (Peperiksaan Semester 2)

“Biro Kegiatan Prestasi PIBG akan memberikan ganjaran kepada setiap pelajar cemerlang SPM 2020 sekolah ini, iaitu pelajar yang mendapat keputusan 5A akan menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM75, keputusan 6A (RM100), 7A (RM150), 8A (RM200), 9A (RM300) dan pelajar cemerlang yang mendapat 10A akan menerima ganjaran sebanyak RM500,” katanya.


Beliau berkata, selain pelajar cemerlang SPM, PIBG sekolah itu juga memberikan ganjaran kepada pelajar cemerlang Tingkatan 1 hingga 5, iaitu yang mendapat kedudukan tempat pertama hingga ketiga dalam peperiksaan setiap semester.


"Inisiatif ini sebagai motivasi atau galakan kepada para pelajar, belajar bersungguh-sungguh mencapai keputusan cemerlang," katanya.


Selepas program itu, beliau turut menyampaikan sumbangan pelitup muka, alat tulis dan 'cookies' kepada semua pelajar SPM sekolah itu.