- Wartawan Nabalu News
182 PATI dari Indonesia dihantar pulang

13 April 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sebanyak 182 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia telah dipulangkan ke negara asal mereka melalui Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 9 yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Sabah (JIM Sabah).
Menurut Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, PATI yang terdiri daripada 145 lelaki, 31 wanita dan enam kanak-kanak itu sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Tawau kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Beliau berkata, PATI berkenaan telah dihantar ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon, Indonesia menggunakan feri Nunukan Express dan Malindo Express.
“Semua tahanan pada kali ini diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri Nunukan Express dan Malindo Express,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Tambah beliau, hukuman yang dikenakan kepada PATI adalah berdasarkan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963 serta proses perundangan negara.
“Oleh itu, semua warga asing diingatkan supaya memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah,” katanya.
SH Sitti Saleha juga menyatakan bahawa operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di Sabah.
“JIM Sabah ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pengusiran ini khususnya Kerajaan Negeri Sabah dan pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI selepas semua PATI melalui tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing.