top of page
  • Writer's pictureJacquline Ebit

191 kanak-kanak, 27 bayi antara yang dijangkiti Covid hari ini



9 September 2021

Oleh Jacquline Ebit


KOTA KINABALU: Seramai 191 kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah termasuk 27 bayi yang berumur kurang daripada satu tahun antara yang dijangkiti Covid-19 hari ini.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah kes baharu pada hari ini meningkat kepada 2,298 kes dengan majoriti pesakit (1,457 kes) adalah dalam lingkungan umur 18-59 tahun.


Berdasarkan kes baharu tersebut, jumlah kumulatif kes kini adalah sebanyak 167,737.


"Kes kematian pada hari ini telah menurun kepada 22 kes, iaitu tiga kes di Sandakan, Lahad Datu, Tawau dan Kudat, dua kes di Penampang, Semporna, Keningau dan Kota Kinabalu manakala Tenom dan Ranau masing-masing mencatatkan satu kes.


"Kes di Kota Kinabalu telah meningkat kepada 498 kes hari ini dan terus kekal sebagai daerah dengan kes Covid tertinggi," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurut Masidi saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian dengan 1,294 kes manakala, 723 kes adalah daripada saringan bergejala, 56 kes daripada saringan kluster.


Beliau berkata, penambahan peratusan penduduk yang divaksin telah membantu dalam mengurungkan jumlah kategori kes yang dianggap serius seperti Kategori 4 dan Kategori 5.


"Setakat ini pesakit dalam Kategori 1 adalah sebanyak 554 kes, Kategori 2, (1,576 kes), Kategori 3 sebanyak tujuh kes, Kategori 4 (satu kes) dan Kategori 5 (dua kes).


"Dari segi jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital atau sembuh pula sebanyak 3,154 orang telah discaj atau sembuh hari ini menjadikan jumlah kumulatif 141,230 orang," katanya.


bottom of page