top of page
nabalunews

197 PATI ditahan di Tuaran, Manggatal




21 November 2024


KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 197 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi di rumah kongsi tapak pembinaan perumahan di Tuaran dan Menggatal, pada Rabu.


Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib berkata operasi bermula jam 12 malam sehingga 5 pagi itu berjaya menahan PATI yang terdiri daripada 85 orang lelaki dan 112 perempuan berusia antara tujuh bulan sehingga 62 tahun.


PATI Filipina yang ditahan terdiri 49 lelaki dewasa, 54 wanita dan 92 kanak-kanak warga Filipina.


Manakala PATI Indonesia yang ditahan terdiri dua lelaki warga Indonesia.


“Semua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Papar untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.


Saleha berkata, operasi tertumpu di dua lokasi di kawasan tapak pembinaan perumahan yang berkonsepkan penempatan rumah kongsi di Tuaran dan Menggatal.


“Pola penempatan berkenaan dibina secara berkelompok di atas bukit dengan keadaan tanah yang berlumpur.


“Kegagalan menyediakan persekitaran rumah yang kondusif menjadi trend menyebabkan PATI terpaksa membina rumah dalam keadaan sempit dan bersesak yang memberi implikasi negatif kepada kehidupan sosial dan perkembangan hidup serta kesejahteraan kanak-kanak yang berada di kawasan terbabit,” katanya.


Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, terdapat warga asing yang melarikan diri dan bersembunyi di kawasan semak samun.


“Keadaan jalan berbukit dan curam ditambah dengan pelbagai helah cuba dilakukan PATI berkenaan menyukarkan pergerakan pasukan operasi serta memberi risiko keselamatan termasuk berlaku pergelutan dengan pihak berkuasa.


“Namun keadaan adalah terkawal dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.


Saleha berkata antara kesalahan yang dikesan termasuklah tiada dokumen pengenalan diri mengikut Seksyen 6(1)(c) dan tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c).


“Operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti termaktub di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.


“JIM juga mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat,” katanya.

Commenti


bottom of page