• nabalunews

2,525 KES BAHARU, JUMLAH TERTINGGI HARIAN 2020 - KP KESIHATAN



31 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Khabar duka menutup hari terakhir tahun 2020 apabila kes baharu COVID-19 mencatat jumlah tertinggi, iaitu 2,525 kes sejak setahun pandemik itu melanda negara.


Lebih mendukacitakan lapan nyawa lagi diragut virus tanpa sempadan ini, menjadikan jumlah maut setakat ini seramai 471 orang.


Dengan perkembangan terbaharu ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes positif di Malaysia mencecah 113,010 kes, dengan jumlah kes aktif pula adalah 23,598 kes.


“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,205 kes, daripada jumlah itu sebanyak 995 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.


“Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 299 kes dan Melaka sebanyak 239 kes,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Selain itu beliau turut memaklumkan terdapat sebanyak 1,481 kes sembuh, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah sebanyak 88,941 kes.


Setakat ini terdapat 131 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 60 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.


Memperincikan kes mengikut negeri, selain Selangor, Sabah dan Melaka, Kuala Lumpur mencatat 222 kes, Johor (194), Pulau Pinang (92), Negeri Sembilan (78) Labuan (63) Kelantan (37), Perak (33), Kedah (24), Terengganu (17) Pahang (15), Putrajaya (5) dan Sarawak 2 kes.


Manakala bagi kes kematian ia melibatkan lima lelaki dan tiga wanita warganegara yang berusia 39 hingga 79 tahun di Johor, Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan dan Kedah. – Bernama




ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com