top of page

200 mangsa kebakaran ditempatkan di PPS Dewan Batu 8, Tawau

nabalunews

27 Oktober 2024


TAWAU: Kira-kira 200 mangsa kebakaran yang memusnahkan 38 rumah di Kampung Jati, Kinabutan, Batu 5, Jalan Apas di sini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Batu 8, Tawau.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild Awang berkata, PPS itu diaktifkan bagi menempatkan para mangsa daripada 48 keluarga iaitu 178  warganegara dan 22 lagi bukan warganegara.


Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah setakat ini mendaftarkan 100 mangsa lelaki, termasuk sembilan bayi dan 100 mangsa perempuan, termasuk 67 wanita dewasa.


Beliau yang meninjau lokasi kebakaran berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung turut diarah untuk memberi bantuan kepada mangsa terlibat, termasuklah dalam penyediaan makanan.


Hamild yang menzahirkan rasa simpati kepada semua mangsa berkata, beliau difahamkan punca kebakaran mungkin daripada api lilin berikutan bekalan elektrik terputus selepas berlaku ribut dan hujan lebat sebelum itu.


Insiden kebakaran berkenaan turut meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, dikenali sebagai Putra Herriz Azmil.


Dalam kejadian itu, pasukan Bomba dan Penyelamat Tawau mengerahkan sepasukan 27 pegawai dan anggota ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman api selepas menerima panggilan kecemasan jam 12.55 pagi.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, mayat mangsa ditemui rentung pada jam 4.50 pagi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi bomba ditamatkan jam 5.59 pagi.

Comments


bottom of page