top of page
  • Wartawan Nabalu News

204 PAIN DARAH BERJAYA DIKUMPUL DALAM KEMPEN DUA HARI



19 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kempen derma darah anjuran Persatuan Talasemia Sabah di Centre Point berjaya mengumpul 204 pain darah dalam kempen dua hari, melebihi sasaran awal 200 pain.


Kempen derma darah tersebut merupakan kempen mingguan yang diadakan di tempat yang berbeza. Minggu lalu, kempen tersebut diadakan di Kg Bantayan, Inanam.


Presiden Persatuan Penderma Darah Sabah (Pendarah) Alix Sunggin berkata, kempen itu bertujuan untuk menambah bekalan darah di hospital Sabah.


"Bekalan darah di Sabah berada pada tahap kritikal sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu.



"Untuk kempen ini, kami menjangkakan sekitar 200 penderma sepanjang dua hari ini tetapi sebaliknya, mendapat 204 penderma dengan 304 pendaftaran diterima," katanya ketika ditemui Nabalu News semasa kempen itu di pusat membeli belah Center Point Sabah, semalam.


Turut hadir Presiden Persatuan Talasemia Sabah Francis Mujim dan turut memberi sokongan Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Ewon Benedick.


Menurut Alix, ketika Covid-19 pertama kali berlaku, beberapa kempen derma darah terpaksa ditangguhkan dan ini menyebabkan bank bekalan darah Sabah tidak mencukupi.



Walaupun ketika kempen derma darah diizinkan tahun lalu, banyak orang masih enggan keluar dan menderma kerana takut dijangkiti Covid-19, tambahnya.


"Dengan inisiatif ini, kami berharap dapat membantu mengisi bekalan darah di hospital,” katanya.


Sementara itu Presiden Persatuan Talasemia Sabah, Francis Mujim berkata, kempen itu diadakan sebagai usaha memastikan bekalan darah mencukupi bagi golongan yang memerlukan transfusi darah.


“Krisis kekurangan bekalan darah semakin ketara dan menjejaskan kehidupan para pesakit yang memerlukan bekalan darah seperti pesakit talasemia dan kanser,” katanya.


Kempen Derma Darah Bersepadu baru-baru ini merupakan kerjasama Persatuan Penderma Darah Sabah, CPS Management Corporation, Hospital Queen Elizabeth II, Majlis Belia Sabah, Ambulans St John Malaysia dan Pertubuhan Penderma Darah Malaysia.


Turut bekerjasama adalah UPKO Malaysia, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Likas, Luyang, 22 Tanjung Aru dan Api-Api, serta E-Noveal Trading Company Sdn Bhd, Sukarelawan Daerah Papar, Koperasi Wanita Kota Kinabalu, Kelab Singa Kota Kinabalu dan Seindah Kafe.


bottom of page