• Wartawan Nabalu News

212 PROJEK PEMBANGUNAN SEMULA DAN PENGGANTIAN BANGUNAN SEKOLAH DAIF DI SABAH SEJAK 2017-2020



23 DIS 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia berjaya membangunkan sebanyak 212 projek pembangunan semula dan penggantian bangunan sekolah daif di seluruh Sabah sejak tahun 2017 sehingga 2020.


Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Ariffin Arif berkata, tahun ini sebanyak 29 buah sekolah daif mendapat kelulusan peruntukan dalam Rolling Plan 1 RMK-12 bagi tujuan pembangunan semula sekolah daif.


“Namun usaha untuk menaik taraf bangunan sekolah ini akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, kelmarin.


Ariffin menjawab isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkenaan cadangan agar lebih banyak bangunan sekolah daif dinaik taraf kepada bangunan konkrit khususnya di DUN Kadamaian.


Berkenaan cadangan sebuah sekolah menengah dan sekolah rendah baharu diwujudkan bagi mengatasi masalah kesesakan dan kepadatan pelajar di kawasan DUN Darau, Ariffin berkata Jabatan Pendidikan Negeri Sabah maklum berkenaan isu tersebut.


“Oleh itu, bagi mengatasi isu ini, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah telah merancang beberapa langkah, antaranya mencadangkan pembinaan bangunan tambahan di sekolah-sekolah yang mempunyai keluasan tapak yang sesuai di sekolah yang sedia ada.


“Selain itu, langkah alternatif kedua adalah mencadangkan pembinaan bangunan gantian penuh bagi sekolah-sekolah yang berada dalam keadaan daif di tapak sedia ada atau di tapak baharu.


“Namun tapak yang dicadangkan bagi tujuan tersebut hendaklah dipindah milik ke pesuruhjaya tanah persekutuan sebelum diangkat ke Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bagi tindakan seterusnya,” katanya.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com