- Wartawan Nabalu News
215 KES POSITIF DIREKODKAN DI PERKAMPUNGAN PULAU GAYA, SETAKAT INI

6 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat peningkatan kes ketara di perkampungan Pulau Gaya di mana setakat ini 215 kes positif telah direkodkan hasil dari 1,339 ujian saringan dengan 25 sampel saringan masih menunggu keputusan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, hari ini KKM melaporkan situasi semasa kes Covid-19 di Perkampungan Pulau Gaya yang terdiri daripada gugusan beberapa buah kampung iaitu Kampung Kasuapan, Kampung Lok Urai, Kampung Pulau Gaya dan Kampung Pondo.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan Negeri bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Perkampungan Pulau Gaya, berkuatkuasa 08 Julai sehingga 21 Julai selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan keluar dan masuk ke lokaliti ini sekaligus mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 keluar dari lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.