22 EKOR BABI DI PITAS DIMUSNAHKAN, ELAK PENULARAN DEMAM BABI22 EKOR BABI DI PITAS DIMUSNAHKAN, ELAK PENULARAN DEMAM BABI
top of page
  • nabalunews

22 EKOR BABI DI PITAS DIMUSNAHKAN, ELAK PENULARAN DEMAM BABI



28 Feb 2021


PITAS: Sebanyak 22 ekor babi di sebuah kampung di Pitas telah dimusnahkan dalam fasa pertama pelupusan babi peliharaan bagi menghentikan penularan Demam Babi Afrika (ASF) di daerah ini.


Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengatakan lebih banyak babi akan segera dilupuskan.



Beliau berkata, babi liar atau berkeliaran juga akan dipertimbangkan untuk dimusnahkan, jika perlu, untuk memastikan ASF tidak sampai ke daerah berdekatan.


“Dianggarkan sekitar 2,000 babi di Pitas dan sekitar 1,000 babi hutan dalam radius 50km. Semua haiwan ini mesti dihapuskan.


"Pada masa yang sama, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah menjalankan kempen di 25 buah kampung untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit ASF.


"Ini adalah sebahagian daripada 182 kampung di Pitas yang perlu diadakan kempen itu. Namun, kempen melalui media social telah dimulakan lebih awal," katanya.


Kitingan menambah bahawa kementerian beliau akan meningkatkan pengawasan di luar daerah Pitas dan setakat ini, pihaknya melalui DVS telah mengutip 120 sampel dari pelbagai daerah bagi mengesan kehadiran virus ASF di seluruh Sabah.


Persampelan turut diperolehi dari rumah penyembelihan babi, pusat-pusat penjualan daging babi komersial dan vendor-vendor yang menjual babi salai (sinalau bakas) di seluruh negeri.



Sekiranya virus ASF dikesan di luar Pitas, daerah-daerah tersebut juga akan diisytiharkan sebagai kawasan wabak ASF mengikut Enakmen Haiwan 2015, untuk memberi DVS kuasa penuh untuk melakukan tindakan pengawalan penyakit melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.


"Fokus sekarang adalah untuk mengawal virus dari merebak di luar Pitas. Namun, jika ini berlaku, kami akan melakukan segala yang kami mampu untuk melindungi kawasan ladang babi utama agar pengeluaran daging babi Sabah tidak terjejas," katanya.


Kitingan mengingatkan semua pengusaha babi komersial untuk meningkatkan kawalan biosekuriti di ladang masing-masing dan melaporkan semua kematian kepada DVS untuk tujuan penyiasatan.


Sementara itu, berikutan penemuan babi hutan mati di sebuah resort di Kinabatangan, DVS dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) telah segera menubuhkan sebuah pasukan untuk mengumpulkan sampel dan menyiasat penyebab kematian babi itu. Hasil ujian makmal dijangka diketahui pada hari Selasa minggu depan.


"Saya ingin mengingatkan orang ramai sekali lagi bahawa penyakit ASF tiada ubat atau vaksin. Namun, virus ini bukan penyakit zoonotic, maksudnya ia tidak berjangkit ke manusia," kata Kitingan.



bottom of page