220 Pengunjung Bazar Ramadan Sikuati Terima Manfaat Program Kesedaran Tibi
- nabalunews
- Mar 7
- 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
7 Mac 2026
KUDAT: Seramai 220 pengunjung dan peniaga di Bazar Ramadan Sikuati menerima manfaat daripada Program Pendidikan Kesihatan mengenai penyakit Tuberkulosis (Tibi) yang diadakan petang semalam, dengan kerjasama Unit Tibi dan Kusta serta Unit Promosi Kesihatan Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Kudat.
Program yang berlangsung selama lebih tiga jam bermula jam 3.30 petang itu berjaya menjangkaui 15 premis bazar Ramadan, 10 gerai makan, 21 gerai sayur, 16 gerai ikan, dan 10 kedai runcit di sekitar Pekan Sikuati.
Seramai lapan petugas kesihatan terdiri daripada Pengurus Program Tibi, Juruteknologi Perubatan, tiga Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, dua Pegawai Kesihatan Persekitaran, dan seorang Pembantu Awam terlibat dalam program berkenaan.

Menurut kenyataan Unit Tibi/Kusta PKK Kudat, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit Tibi serta menggalakkan orang ramai mendapatkan pemeriksaan awal jika mengalami gejala berkaitan, dengan sasaran utama para peniaga dan pengunjung di bazar tersebut.
Pelbagai aktiviti kesihatan dijalankan sepanjang program termasuk pengedaran 100 risalah berkaitan Tibi, penerangan mengenai tanda dan gejala penyakit, kaedah penularan, serta langkah-langkah pencegahan. Petugas turut memberi promosi mengenai saringan kahak kepada orang awam yang hadir.
Pihak PKK Kudat menasihatkan orang ramai agar tidak panik terhadap situasi kes Tibi, sebaliknya mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber sahih serta segera melakukan pemeriksaan awal di fasiliti kesihatan terdekat jika mengalami gejala seperti batuk berpanjangan, demam, dan penurunan berat badan.

Program pendidikan kesihatan seumpama ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan masyarakat mendapat pendedahan dan pengetahuan secukupnya dalam usaha membendung penularan penyakit Tibi di daerah ini.















Comments