225 perumahan kos rendah dalam pelaksanaan – Joachim
- nabalunews
- Apr 14
- 1 min read

14 April 2025
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui agensi pelaksananya Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) sedang melaksanakan pembinaan perumahan kos rendah sebanyak 225 unit di lima lokasi strategik terpilih.
Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, projek berkenaan merupakan pelan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12).
Katanya, pembinaan 50 unit di Kemabong Tenom, 50 unit di Sukau Kota Kinabatangan, 50 unit di Melalap Tenom, 25 unit di Beluran dan 50 unit di Pitas dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.
“Rumah ini akan dijual kepada golongan B40 yang berpendapatan rendah dengan harga RM47,000 seunit,” katanya semasa Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-16, di sini hari ini.
Joachim menjawab soalan daripada ADUN dilantik Datuk Suhaimi Nasir mengenai perancangan kerajaan negeri bagi membina lebih banyak perumahan kos rendah mampu milik untuk golonan B40 di seluruh negeri.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri melalui LPPB juga telah merancang untuk membina lebih banyak lagi rumah kos rendah bagi golongan B40 di dalam Rancangan Malaysia Ke Tigabelas (RMKe13).
“Ianya di bawah biayaan kerajaan negeri yang akan datang dan kini di peringkat penyemakan serta kelulusan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Joachim berkata Program Perumahan Rakyat (PPR) belum melaksanakan sebarang dasar sewa beli, sebaliknya masih mengekalkan polisi sewaan kepada golongan yang berkelayakan.
Comentários