• Wartawan Nabalu News

232 KES POSITIF BAHARU COVID-19 DIREKODKAN DI SABAH HARI INI



10 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan sebanyak 233 kes positif baharu Covid-19 pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 65,021 kes dan satu kes kematian direkodkan hari ini iaitu di Semporna.


Daerah yang berada dalam Zon Merah Covid-19 masih kekal 18 daerah dan hanya satu daerah Zon Hijau iaitu di Beluran.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada 233 kes jangkitan baharu hari ini, 128 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 55 kes adalah daripada saringan kluster, 37 kes adalah daripada saringan bergejala, dua kes daripada saringan bersasar dan 11 kes adalah daripada lain-lain kes.

“Berdasarkan pecahan kes pada hari ini, 13 daerah mencatatkan peningkatan kes dengan 11 daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu (1) angka, manakala dua (2) lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua (2) angka iaitu Sandakan 33 kes (+24).


Jumlah kes positif Covid-19 di daerah Kota Kinabalu hari ini adalah 58 kes (+19) dengan sembilan belas (19) kes adalah kes import daripada kluster Ocean Blue yang dikesan baharu-baharu ini, serta satu kes lagi daripada Kg. Muhibbah Likas yang telah dikenakan PKPD serta Keningau kekal catatan kes baharu sebagaimana hari kelmarin iaitu dengan satu (1) kes.


“Walau bagaimanapun, 12 daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Sembilan daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka, manakala tiga daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu Tuaran (-22), Kota Belud (-18) dan Penampang (-11).

Manakala tiga daerah mencatatkan sifar kes iaitu di Beluran, Tenom dan Tambunan.

“Perubahan angka bagi jangkitan baharu setiap hari di Negeri Sabah adalah tidak statik dan jumlah daerah yang mencatatkan sifar kes pula semakin berkurangan iaitu tiga daerah dengan hanya satu daerah Zon Hijau yang tinggal.


"Ini menandakan bahawa kebarangkalian trend ketidakpatuhan SOP di kalangan masyarakat di seluruh Sabah kecuali kawasan Zon Hijau sedang berlaku, katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, pada hari ini.

Mengenai jumlah pesakit sembuh, beliau berkata, hari ini sebanyak 212 jumlah pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif 62,072 orang.

“Manakala 1,915 orang pesakit lagi sedang menerima rawatan iaitu 531 orang di hospital, dan 1,384 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam," katanya.