• Wartawan Nabalu News

236 KES SEMBUH DI SABAH, 302 SELURUH NEGARA



17 OKTOBER 2020


KOTA KINABALU: Seramai 236 orang sembuh daripada Covid-19 di Sabah, dilaporkan hari ini daripada jumlah keseluruhan kes sembuh seluruh negara seramai 302 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 12,561 kes atau 64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Perincian kes sembuh, Sabah (236 kes); Selangor (41 kes); Perak (16); Sarawak (empat kes); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (tiga kes); Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masing-masing satu kes pulih,” katanya dalam sidang media secara maya yang disiarkan melalui Facebook Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan seperti mengelak kawasan sesak, sempit, mengelak bersalaman dan bersentuhan termasuk melagakan mana-mana bahagian tubuh badan sebagai menggantikan cara kebiasaan bersalaman.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan luar negara melalui maklumat daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya.