• nabalunews

24,290 RUMAH BERDAFTAR SEBAGAI RUMAH BEBAS TANPA AMALAN MEROKOK



23 NOV 2020

KUALA LUMPUR: Sebanyak 24,290 rumah telah didaftarkan sebagai Rumah Bebas Tanpa Amalan Merokok sehingga kini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata program itu bertujuan menangani gejala asap rokok sekunder atau “secondhand smoke” dalam kalangan ibu bapa yang merokok serta akan diperluaskan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

“... perancangan yang dilaksanakan di bawah pelan strategik ini adalah termasuk Rumah Bebas Tanpa Amalan Merokok iaitu ke arah pembudayaan amalan tidak merokok bermula dari rumah,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Fuziah Salleh (PH-Kuantan) yang ingin tahu status kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Mayarakat (KPWKM) dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menangani gejala asap rokok sekunder oleh ibu bapa yang merokok.

KPWKM terlibat sebagai ahli tetap dalam Jawatankuasa Pemandu Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC) bagi membincangkan strategi dan dasar di bawah Pelan Strategik Kebangsaan bagi Kawalan Tembakau yang pertama daripada 2015-2020.

Jawatankuasa itu memantau dan menambah baik implementasi kawalan tembakau yang telah digariskan di bawah WHO FCTC dan pelaksanaan program kawalan tembakau yang telah digariskan di bawah Pelan Strategik Kebangsaan Kawalan Tembakau.

Selain Rumah Bebas Tanpa Amalan Merokok, Rina berkata KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bekerjasama dengan KKM dalam pembangunan Garis Panduan Kaunseling Sosial Masalah Merokok Dalam Kalangan Remaja yang diguna pakai di fasiliti Kafe@TEEN LPPKN.

Beliau berkata matlamat garis panduan itu adalah untuk menjadikan remaja sihat tanpa amalan merokok dan seterusnya menjadi agen perubahan tingkah laku kepada ibu bapa yang merokok.

“LPPKN mempunyai 18 pusat remaja KafeTEEN untuk remaja 13 hingga 24 tahun yang menyediakan program dan perkhidmatan bagi mempromosi dan memberikan latihan kemahiran hidup bagi tujuan gaya hidup sihat, termasuk program anti merokok dan Klinik Kaunseling Berhenti Merokok,” katanya. – Bernama