• nabalunews

241 KENDERAAN DISEDIAKAN UNTUK BANTUAN LOGISTIK COVID-19 DI SABAH



1 DIS 2020


KOTA KINABALU: Sebanyak 241 buah kenderaan disediakan untuk kegunaan bantuan logistik pasukan petugas COVID-19, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.


Beliau, yang juga jurucakap COVID-19 negeri, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 44 buah kenderaan digunakan untuk mengangkut pesakit COVID-19, 35 buah kenderaan untuk menghantar bakul makanan dan baki 162 kenderaan dalam keadaan sedia digunakan.


Masidi, yang juga Menteri Kewangan II, berkata hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga dilaksanakan di 115 lokasi di 18 daerah.


Hebahan dibuat dalam lima bahasa iaitu bahasa Melayu, Mandarin, Dusun, Bajau dan Iranun, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat hari ini, sebanyak 260,880 bantuan bakul makanan telah diedarkan kepada golongan sasar.


"Kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian," katanya. - Bernama