• Wartawan Nabalu News

26,516 DARIPADA 118,376 PEKERJA ASING DI SABAH TELAH JALANI UJIAN SARINGAN COVID



Gambar Hiasan

2 Feb 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Seramai 26,516 daripada 118,376 pekerja asing yang mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menjalani ujian saringan di Sabah.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Tenaga Kerja Sabah (JTKS), hanya 659 daripada 8,369 majikan telah melaksanakan program ujian saringan Covid-19 kepada pekerja asing mereka setakat hari ini.


“Semenjak Program Ujian Saringan Covid-19 dikuatkuasakan mulai 11 Januari lalu kepada semua majikan yang menggaji pekerja asing, seramai 26,516 pekerja asing telah menjalani ujian saringan,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, bagi memastikan semua sektor yang menggaji pekerja asing menjalankan saringan Covid-19, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah termasuk mengeluarkan arahan supaya Ujian Saringan Covid 19 terhadap pekerja asing diwajibkan bermula 1 Januari lalu.


“Susulan itu, Menteri Sumber Manusia telah mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Kesihatan dan Keselamatan (JKKP) dan PERKESO untuk melaksanakan operasi penguatkuasaan tanggungjawab majikan untuk melakukan ujian saringan Covid-19 kepada pekerja Asing termasuk majikan-majikan di Sabah.


“Operasi ini dilaksanakan sebagaimana peruntukan undang-undang yang diperuntukkan di bawah subseksyen 11(2), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342],” katanya.


Beliau berkata, JTKS bersama-sama dengan JKKP dan PERKESO telah menubuhkan satu Task-force tanggungjawab majikan untuk melakukan Ujian Saringan Covid-19 kepada Pekerja Asing di peringkat negeri Sabah.


“Task-Force ini akan menyelaras 15 pasukan penguatkuasaan yang ditempatkan mengikut zon di seluruh Sabah.


“Pasukan Penguatkuasa ini akan membuat lawatan ke premis-premis majikan untuk memastikan majikan mematuhi arahan supaya semua Pekerja Asing termasuk pekerja tempatan menjalani ujian saringan Covid 19.


“Majikan yang gagal membuat ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja asing sehingga 28 Februari ini boleh menyebabkan PLKS pekerja asing mereka tidak akan diperbaharui,” katanya.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com