- nabalunews
28 rumah atas air Kampung Simunul roboh
1 Aug 2024
SEMPORNA : 28 rumah atas air di Kampung Simunul Lorong 3 di sini roboh akibat ribut pagi tadi.
Pegawai Daerah Semporna, Alexander Liew berkata, 10 rumah lagi mengalami kerosakan pada bahagian tiang sehingga menyebabkan strukturnya senget
38 rumah atas air di Kampung Simunul Lorong 3 di sini terjejas teruk akibat ribut pagi tadi.
Difahamkan, keadaan struktur rumah papan yang dihubungkan melalui jambatan kayu yang tidak kukuh dan uzur turut menyebabkan rumah terbabit roboh ketika dilanda ribut.
“10 rumah ini juga berbahaya untuk dihuni dan setakat ini, jumlah sebenar keseluruhan mangsa terjejas belum diketahui kerana pendaftaran sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Alexander berkata sebuah pusat penempatan sementara (PPS) Bubul Ria dibuka untuk mangsa terjejas.
“Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Negeri Sabah turut menyediakan bantuan makanan dan minuman untuk mangsa di PPS,” katanya.
Katanya tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Sementara itu Ketua Balai Bomba Atas Air Semporna, Noorjali Masrah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 12.02 tengah hari.
Katanya sepasukan 6 anggota Balai Bomba Atas Air Semporna dibantu 5 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat, (BBP) Semporna diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Akhimullah Adan dikerah ke lokasi kejadian.
"Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, didapati sebanyak 28 buah rumah atas air di Lorong 3, Kampung Simunul telah roboh.
Tindakan pasukan operasi adalah mengosongkan kawasan berkenaan dan penduduk terjejas dikumpulkan di kawasan Dewan Kampung Simunul.
"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.
Operasi bomba ditamatkan jam 5:28 petang tadi.
Comments