top of page

30 bakal usahawan makanan ambil kursus anjuran TEKUN Nasional dan PKCS

  • nabalunews
  • Dec 1, 2024
  • 2 min read

Updated: Dec 2, 2024


1 Disember 2024


KOTA KINABALU: Seramai 30 bakal usahawan mengorak langkah pertama ke arah menjadi usahawan kecil selepas menghadiri Kursus Pembuatan dan Masakan Mee yang diadakan di Kampung Tanjung Aru Baru di sini pada Sabtu.


Kursus satu hari anjuran bersama Persatuan Keusahawanan Cekap Sabah (PKCS) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional itu, menarik peserta dari sekitar Kota Kinabalu khususnya Tanjung Aru, Sembulan, Putatan dan Penampang.


Dalam ucapan perasmiannya, pengerusi PKCS Dennison Ramdi Indang mengucapkan syabas kepada para peserta kerana berjaya mengambil langkah pertama iaitu mengikuti kursus tersebut dan menimba ilmu untuk menjadi usahawan kecil dalam bidang pemakanan.

Awang Husaini (duduk kiri, baju putih)

"Para peserta membuat keputusan tepat menyertai kursus ini, iaitu anjuran bersama oleh TEKUN Nasional, agensi dibawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang diterajui Menterinya Datuk Ewon Benedick.


"Melalui sokongan beliau (Ewon), khususnya melalui agensi seperti TEKUN Nasional, kita menyaksikan lebih banyak peluang diberikan kepada usahawan kecil dan sederhana untuk maju dan berjaya.


"Peserta telah melihat sendiri mutu kursus anjuran TEKUN Nasional, dimana tenaga pengajar pada hari ini bukan yang calang-calang, tetapi mempunyai ilmu dan pengalaman luas yang telah memenangi beberapa anugerah di peringkat wilayah dan kebangsaan," kata Dennison sambil merujuk kepada tenaga pengajar kursus, Karlina Ilyas dari Daun Kari Enterprise.


Menurut Dennison, TEKUN Nasional juga merupakan platform pilihan tepat untuk mereka yang berminat menceburi bidang keusahawanan kecil kerana pelbagai khidmat sokongan yang ditawarkan untuk maju dan berjaya.


"Selepas mengetahui dan mengenali TEKUN Nasional, sudah tentu peserta-peserta lebih yakin mengorak langkah yang seterusnya kerana mereka sekarang tahu dimana boleh mendapat khidmat sokongan dan bantuan secara mudah..iaitu dari agensi TEKUN Nasional," katanya sambil menambah bahawa pihak PKCS pula akan sedia membantu jika ada yang masih memerlukan bimbingan selanjutnya.


Sementara itu, Dennison menggalak semua peserta untuk turut mengikuti kursus-kursus keusahawanan yang akan datang untuk meningkatkan lagi tahap kemahiran sebagai usahawan kecil khususnya dalam bidang pemakanan.


"Tahun depan iaitu pada Januari, PKCS bersama-sama TEKUN Nasional akan mengadakan kursus pembuatan dan masakan dim sum dan dumpling. Kursus ini mungkin akan diadakan di Sembulan tetapi semua yang hadir hari ini dijemput untuk ikut serta," katanya.


Dennison berkata kursus-kursus lain juga akan diadakan tahun hadapan untuk mendalami aspek keusahawanan seperti pemasaran, pengurusan perniagaan dan juga inovasi produk.


Beliau berkata usaha semua ini adalah untuk menggalakkan komuniti Tanjung Aru, Sembulan dan sekitar Kota Kinabalu untuk lebih berjinak dalam bidang keusahawanan kecil dan sederhana seperti keusahawanan pemakanan.


Sepanjang kursus tersebut yang dibiayai sepenuhnya oleh TEKUN Nasional, peserta mempelajari pembuatan pelbagai jenis mee termasuk mee kuning, mee halus dan juga mee kuetiau. Perserta juga diajar memasak tiga jenis hidangan mee iaitu mee kari, mee laksa dan mee

kuetiau.


Dalam pada itu, Dennison mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kursus itu termasuk jawatankuasa penganjur terutamanya Hafshah Saleh dan Mark Silak.


Penghargaan juga dirakamkan kepada mantan Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari yang turut hadir memberi sokongan, serta Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional Rogers Tiam Sinusun kerana membantu merealisasikan kursus tersebut.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page