- Wartawan Nabalu News
322 PENDUDUK MUKIM MELANGKAP TERIMA SUMBANGAN ADUN, AHLI PARLIMEN, NGO

16 Feb 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA BELUD: Seramai 322 Ketua Isi Rumah (KIR) yang dikuarantin di rumah, termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kanak-kanak dari lima buah kampung Mukim Melangkap, di sini, menerima sumbangan bantuan makanan dan keperluan lain daripada pelbagai pihak.
Sumbangan pelitup muka, keperluan barangan dapur, makanan dan minuman serta keperluan bayi itu disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick, Ahli Parlimen Kota Belud Isnahraisah Munirah Majilis, Sabah Aid Team yang diselaraskan oleh Dr. Siew Eng How dan para dermawan.

Ewon berharap sumbangan itu dapat meringankan bebanan penduduk kampung yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
"Terima kasih kepada semua pihak yang bermurah hati menghulurkan sumbangan makanan dan juga kepada Jawatankuasa Covid-19 Melangkap serta Pejabat Daerah Kota Belud yang bertungkus lumus mengurus pengagihan sumbangan itu.

"Daripada jumlah keseluruhan penerima sumbangan, 240 adalah KIR, 28 OKU dan 54 penerima adalah kanak-kanak berumur tiga tahun ke bawah," katanya kepada Nabalu News, di sini, hari ini.

Ewon turut mengingatkan penduduk kampung supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Sementara itu, Penyelaras Agihan Bendahari Jawatankuasa Covid-19 Melangkap Anichlose Kesimin berkata, pengagihan sumbangan itu bertujuan mengurangkan bebanan penduduk kampung yang terkesan akibat pandemik Covid-19 terutamanya yang dikuarantin di rumah.
“Kampung yang terlibat ialah Melangkap Tomis, Melangkap Tiong, Melangkap Neriou, Melangkap Baru dan Melangkap Kapa.
"Bagaimanapun 60 peratus daripada bantuan makanan disampaikan kepada penduduk Kg.Melangkap Tiong yang dikuarantin sepenuhnya.

"Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Datuk Ewon, Ahli Parlimen Kota Belud, PPM Kadamaian Demis Rumanti dan JK Covid19 Melangkap atas sokongan dan kerjasama mendapatkan serta mengagihkan sumbangan makanan sepanjang tempoh tiga minggu untuk semua KIR yang sedang dikuarantin di rumah," katanya.