- Wartawan Nabalu News
335 KES BAHARU POSITIF COVID DI SABAH HARI INI, DUA KEMATIAN

13 Jun 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu positif Covid-19 di Sabah hari ini sebanyak 335 kes menurun 43 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 65,043.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, dua kes kematian direkodkan iaitu masing-masing satu kes di Tawau dan Lahad Datu.
Menurut beliau daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini, 170 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 102 kes adalah daripada saringan kluster, 26 kes adalah daripada saringan bergejala, 17 kes daripada saringan bersasar dan 20 kes adalah daripada lain-lain kes.
“Berdasarkan pecahan kes pada hari ini, lapan daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Empat daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka, manakala empat daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu Kudat (-56), Papar (-31), Sandakan (-29) dan Tawau (-19).
“Walau bagaimanapun, 12 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan lima daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala tujuh lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Tuaran 35 kes (+23), Putatan 16 kes (+14), Beaufort 18 kes (+13), Kinabatangan 12 kes (+12), Lahad Datu 32 kes (+10), Tongod 10 kes (+10).
"Jumlah kes positif Covid-19 di daerah Kota Kinabalu hari ini adalah 49 kes (+17) dengan pertambahan kes daripada Kluster Ocean Blue sebanyak enam kes menjadikan kumulatif kes meningkat kepada 157 kes daripada 185 anak kapal yang terbabit dalam Kapal KD Mahawangsa," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, pada hari ini.
Manakala dua daerah lain yang mencatatkan kes baharu pada hari ini iaitu Kota Belud (19 kes) dan Semporna lima kes kekal sebagaimana jumlah kes kelmarin. Lima daerah lagi mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Pitas, Kuala Penyu, Tenom dan Tambunan.
Mengenai jumlah pesakit sembuh, Masidi berkata, hari ini sebanyak 329 jumlah pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 62,846 orang.
“Manakala 1,996 orang pesakit lagi sedang menerima rawatan iaitu 520 orang di hospital, dan 1,524 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam," katanya.