- Wartawan Nabalu News
339 kes baharu, tiada kematian dicatatkan di Sabah, hari ini

20 Mac 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Jumlah kes harian Covid-19 di Sabah hari ini di bawah paras angka 400 dengan 339 kes, menurun sebanyak 82 kes berbanding semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, buat pertama kali juga sejak 4 Februari lalu, tidak ada daerah yang mencatat kes baharu tiga angka.
“Secara keseluruhan, jumlah kes baharu menampakkan trend penstabilan dengan beberapa daerah mencatatkan penurunan kes harian yang agak baik.
“Ini termasuk Kota Kinabalu yang mencatatkan hanya 65 kes (-39), Putatan 8 kes (-19), Tuaran 37 kes menurun 18 kes dan Penampang 20 kes (-15).
“Antara daerah yang mencatatkan jumlah jangkitan baharu yang lebih tinggi daripada sebelumnya ialah Lahad Datu 12 kes (+12) dan Ranau 16 kes (+11),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Bagaimanapun Masidi mengingatkan rakyat Sabah supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Beliau berkata, ini kerana peratusan jangkitan sporadik masih tinggi sebanyak 59.88 peratus walaupun ada sedikit penurunan peratusan.
“Sebanyak 15 daerah mencatatkan kes dua angka, sembilan daerah mencatatkan kes satu angka sementara daerah Semporna, Kunak dan Nabawan, tidak mencatatkan sebarang jangkitan baharu pada hari ini,” katanya.
Masidi berkata, empat kluster diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Jalan Pintas Sembulan (Kota Kinabalu), Kluster Sutera 2 (Kota Kinabalu), Kluster Giram (Kunak) dan Kluster Kemburongoh 2 (Ranau).
“Dengan penamatan kluster-kluster tersebut, jumlah kluster yang masih aktif di Sabah ialah 14 kluster,” katanya.
Beliau berkata secara keseluruhannya 326 atau 96.16 peratus daripada 339 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, dua kes dalam Kategori 3, tujuh kes dalam Kategori 4 dan empat kes dalam Kategori 5.
Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 880 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 337,768 orang.
Manakala 576 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 461 orang di hospital, 114 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam serta satu orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / penjara.
Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 42 orang merangkumi 39 di ICU/repurposed kritikal care serta tiga di open ward (HDW/kubikel akut) dan 21 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).