• Wartawan Nabalu News

35 SAMAN, SEMBILAN KENDERAAN DISITA DALAM OP SAMSENG JALANAN DI JALAN KEPAYAN



4 JAN 2021


KOTA KINABALU: Polis mengeluarkan 35 saman dan menyita sembilan kenderaan atas pelbagai kesalahan dalam Op Samseng Jalanan di Kawasan Aeropod, Jalan Kepayan, di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata dalam operasi bermula jam 10 malam (2 Jan) hingga 4.30 pagi (3 Jan) sebanyak 86 kenderaan diperiksa menggunakan alat MCOPS dan 106 pengguna jalan raya turut diperiksa.


“Sebanyak 35 keping saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam operasi ini sementara sembilan buah kenderaan jenis motokar telah disita atas pelbagai kesalahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.



“Kesemua kenderaan yang disita ditahan atas pelbagai kesalahan seperti ubah suai kenderaan/ nombor plat tidak mengikut peraturan serta kesalahan ekzos.


“Ia akan dihantar untuk diperiksa oleh Jabatan pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.


Beliau berkata, usaha penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi mencegah kegiatan samseng jalanan di sekitar daerah Kota Kinabalu.


Di samping itu katanya, antara tujuan operasi itu dijalankan adalah bagi mendidik masyarakat untuk mengutamakan keselamatan dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.


Op Samseng Jalanan dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kota Kinabalu.