• Wartawan Nabalu News

37,155 CALON DUDUKI PEPERIKSAAN SPM, SVM MULAI HARI INI


Sebahagian pelajar SMK Bundu Tuhan yang menduduki peperiksaan SPM, bermula hari ini.

22 Feb 2021


KOTA KINABALU: Seramai 37,155 orang calon akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) di seluruh Sabah bermula hari ini, kata Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin.


Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 36,432 orang adalah calon SPM dan 738 orang lagi adalah calon SVM.


Calon SPM, membabitkan 33,453 orang calon bagi sekolah kerajaan, 1,297 calon sekolah swasta dan 1,682 calon persendirian.

Peperiksaan SPM dan SVM ini melibatkan sebanyak 314 pusat peperiksaan SPM dan tujuh pusat peperiksaan SVM.


Bilangan petugas yang menjaga peperiksaan pula adalah seramai 5,393 orang petugas.


Peperiksaan SPM bermula hari ini (22 Feb) sehingga 25 Mac ini manakala, SVM juga bermula hari ini hingga 25 Feb dan bersambung pada 8 Mac hingga 19 Mac.


Sementara itu, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula akan bermula pada 16 hingga 22 Mac bagi semester satu dan bagi semesta dua bermula dari 5 hingga 12 April.


Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula akan bermula 29 Mac hingga 27 April.


Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa akan bermula pada 23 Feb.