- Wartawan Nabalu News
378 KES BAHARU POSITIF COVID DI SABAH HARI INI

12 Jun 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu positif Covid-19 di Sabah hari ini sebanyak 378 kes meningkat 69 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 65,708.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, lima kes kematian direkodkan iaitu masing-masing satu kes di Semporna, Tawau, Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Putatan.
Menurut beliau daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini, 167 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 130 kes saringan kluster, 31 kes saringan bergejala, 36 kes saringan bersasar dan 14 kes adalah daripada lain-lain kes.
“Berdasarkan pecahan kes pada hari ini, 12 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan tujuh daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala lima lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Kudat 75 kes (+48), Papar 58 kes (+39), Sandakan 38 kes (+28), Telupid 15 kes (+14) dan Sipitang 13 kes (+11).
“Daerah Kota Kinabalu kekal catatan kes baharu sebagaimana hari kelmarin iaitu dengan 32 kes.
“Sembilan daerah di Sabah mencatatkan penurunan kes. Lima daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka, manakala empat daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu Kinabatangan (-26), Tawau (-16), Putatan (-15) dan Lahad Datu (-10),” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Mengenai jumlah pesakit sembuh, Masidi berkata, hari ini sebanyak 210 jumlah pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 62,517 orang.
“Manakala 1,996 orang pesakit lagi sedang menerima rawatan iaitu 524 orang di hospital, dan 1,472 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam," katanya.